Monday, January 2, 2012

Anak muda semakin minat ilmu agama berbanding hiburan



Sambutan tahun baru disambut dengan penuh rasa kesyukuran di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada tempoh hari. Suatu perkembangan yang sangat membanggakan apabila anak muda mula minat untuk hadir ke program ilmu agama. Kehadiran pengunjung juga sangat memberangsangkan apabila kira-kira 80 ribu orang hadir. Satu permulaan yang baik untuk tahun 2012. Semoga negeri Selangor diberkati Allah SWT.

Jika di Kelantan, kehadiran seramai itu untuk sesuatu sambutan yang diisi dengan program ilmu agama adalah perkara normal. Terharu apabila kehadiran seramai itu berjaya dicapai di Selangor. Ini jelas menunjukkan yang masyarakat benar-benar dahagakan program seperti itu. Program yang dapat menyucikan hati dan mendidik akhlak. Malah anak muda juga mula berminat untuk mendalami ilmu agama dan meninggalkan hiburan melampau yang melalaikan.

Program anjuran kerajaan Selangor tersebut dimulakan dengan Solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Azhar Idrus, kemudian diteruskan dengan sembang santai bersama Ustaz Syed NorHisham dan Imam Muda Ashraff. Para pengunjung kemudiannya menunaikan Solat Isyak berjemaah yang diimamkan oleh Imam Muda Ashraff. Selepas itu giliran Sham Kamikaze pula membuat persembahan.

Ustaz Azhar Idrus menyusul selepas itu bersama Zizan Raja Lawak untuk sesi Soal-Jawab Agama. Sesi yang sangat dinantikan para pengunjung dimana pemahaman agama dapat ditingkatkan. Shahir AF dan Akhil Hay turut hadir sebagai artis jemputan untuk membuat persembahan selepas itu. Detik 12 malam akhirnya disambut dengan Asma ul husna oleh Ustaz Azhar Idrus bersama kira-kira 80 ribu pengunjung.


p/s: Alhamdulillah, satu perubahan yang dibawa oleh kerajaan Pakatan Rakyat. Sambutan seperti ini lebih tinggi nilainya berbanding sambutan yang hanya menampilkan persembahan nyanyian dan percikan bunga api.

No comments:

Post a Comment